Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sendirian Berhad
KIULAP, Khamis, 12 Mac. - Dalam menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian sumbangan kepada keluarga yang memerlukan yang diadakan di J Hotel, Kampung Kiulap.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Seramai 62 kakitangan Hengyi Industries menyertai Majlis Khatam Al-Quran.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan majlis tersebut dipimpin oleh Ketua Pembantu Bomba Hengyi Industries, Awang Mohd. Hardie bin Haji Minudin diikuti dengan bacaan Takhtim yang dipimpin oleh anggota bomba Hengyi Industries, Awang Mohammed Kamarul Zaman bin Awang Abas, manakala Dikir dipimpin oleh anggota bomba Hengyi Industries, Awang Mohd. Izuan bin Marali.
Sejurus selesai Majlis Khatam Al-Quran, acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan yang berjumlah BND8,100 kepada 12 keluarga kurang bernasib baik dan sembilan anak yatim dari Kampung Perpindahan Serasa. Acara tersebut kemudiannya diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama para penerima dan tetamu jemputan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; dan Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun.
Program sumbangan Ramadan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat 'Hengyi Cares', dengan sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka, dan diharapkan dapat menceriakan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka yang akan datang.